Apakah Inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia?
Bantuan Automotif Keluarga Malaysia adalah inisiatif di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang bertujuan untuk meringankan beban golongan yang terjejas akibat bencana banjir bermula daripada 18 Disember 2021. Inisiatif meliputi diskaun daripada syarikat automotif dan juga baucar diskaun automotif sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan sama ada untuk pembaikan atau penggantian kenderaan persendirian yang rosak/musnah akibat banjir.
Bilakah Bantuan Automotif Keluarga Malaysia mula berkuatkuasa?
Tawaran baucar diskaun ini berkuatkuasa pada 18 Disember 2021 sehingga 31 Mac 2022 selaras dengan jangkaan tempoh monsun timur laut.
Apakah syarat kelayakan individu untuk menerima inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia?
- Warganegara Malaysia
- Kenderaan milik persendirian yang rosak akibat banjir (tidak semestinya isi rumah yang duduk di kawasan dilanda banjir)
- Kenderaan yang tidak dilindungi oleh insuran bencana alam
Apakah jenis kenderaan yang layak untuk menebus Bantuan Automotif Keluarga Malaysia?
Jenis kenderaan yang layak adalah kenderaan yang rosak akibat banjir dalam kategori kenderaan persendirian tanpa perlindungan insuran bencana alam sahaja.
Definisi kenderaan persendirian.
Definisi kenderaan persendirian adalah termasuk kenderaan penumpang, trak pikap, van dan motosikal.
Berapakah jumlah peruntukan di bawah Bantuan Automotif Keluarga Malaysia?
Kerajaan telah mengumumkan inisiatif Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang meliputi baucar diskaun automotif sebanyak RM1,000 sama ada untuk pembaikan atau penggantian kenderaan persendirian yang rosak/musnah akibat banjir.
Bagaimana cara untuk memohon Bantuan Automotif Keluarga Malaysia?
Tiada permohonan perlu dilakukan. Pemilik kenderaan hanya perlu menghantar kenderaan persendirian ke pusat servis/pengedar sah yang berdaftar dengan syarikat yang mengambil bahagian. Spesifikasi terhadap kereta yang layak untuk menerima Bantuan Automotif Keluarga Malaysia adalah berdasarkan kepada pengesahan daripada syarikat automotif yang terlibat.
Berapa lamakah tempoh penebusan boleh dilakukan?
Tarikh akhir tuntutan baucar diskaun oleh pengguna adalah pada 31 Mac 2022 dan syarikat hendaklah mengemukakan tuntutan bayaran balik selewat-lewatnya 30 April 2022.
Bagaimana jika kerosakan tanggungan melebihi RM1,000?
Pemberian baucar diskaun ini dihadkan kepada RM1,000 sahaja. Sekiranya kos pembaikan melebihi had yang telah ditetapkan, ia adalah dibawah tanggunggan pemilik kenderaan persendirian tersebut.
Siapa yang bertanggungjawab menentukan kelayakan kereta untuk menerima Bantuan Automotif Keluarga Malaysia?
Spesifikasi terhadap kereta yang layak untuk menerima Bantuan Automotif Keluarga Malaysia adalah berdasarkan kepada pengesahan daripada syarikat automotif yang terlibat.
Apakah dokumen sokongan yang perlu dikemukakan oleh individu?
Setiap pemilik kenderaan persendirian haruslah mengemukakan salinan kad pengenalan semasa menghantar kenderaan ke pusat servis berdaftar untuk menebus baucar.
Bolehkah penebusan dilakukan ke atas lebih dari satu kenderaan bagi setiap pemilik kenderaan?
Setiap pemilik kenderaan persendirian haruslah mengemukakan salinan kad pengenalan semasa menghantar kenderaan ke pusat servis berdaftar untuk menebus baucar.
Bagaimana jika saya sudah membaiki kereta akibat bencana banjir dan selesai melunaskan pembayaran:
- pusat servis/pengedar sah yang berdaftar; atau Pemilik kenderaan persendirian berhak mengemukakan permohonan bayaran balik kos sehingga RM1,000 secara tunai kepada pusat servis/pengedar sah yang berdaftar sekiranya pembaikan/penggantian telah dibuat sebelum inisiatif dimuktamadkan.
- pusat servis/pengedar yang tidak berdaftar Tiada tuntutan dapat dilakukan kerana pemilik kenderaan persendirian hanya boleh mendapat baucar diskaun ini dari pusat servis/pengedar sah yang berdaftar dengan syarikat yang mengambil bahagian.
Bagaimana untuk mencari pusat servis/pengedar sah yang berdaftar yang berdekatan.
Anda dinasihatkan untuk menghubungi syarikat automotif yang disenaraikan bagi mendapatkan khidmat nasihat untuk menghantar kenderaan anda ke pusat servis/pengedar sah yang berdaftar terdekat.
Adakah penebusan hanya terhad bagi tujuan pembaikian kenderaan yang rosak? Bagaimana pula dengan pemilik kereta yang mengalami kerosakan total dan ingin mengganti dengan kenderaan yang baru?
Kenderaan yang mengalami kerosakan total juga akan mendapat baucar diskaun RM1,000 bagi tujuan penggantian kenderaan baharu.
Adakah saya layak menebus Bantuan Automotif Keluarga Malaysia jika saya tidak tinggal di kawasan yang terjejas dengan bencana banjir namun kenderaan mengalami kerosakan akibat banjir semasa perjalanan?
Anda layak menebus jika anda adalah warganegara Malaysia dan mendapat pengesahan layak dari syarikat automotif yang terlibat.
Bagaimana jika kos pembaikan kenderaan saya tidak melebihi RM1,000, adakah saya boleh menebus jumlah baki secara tunai?
Tidak. Pemberian baucar diskaun melalui Bantuan Automotif Keluarga Malaysia ini adalah berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat oleh syarikat automotif yang terlibat selepas selesai proses pembaikan.